WOW...

SEMENYIH ONLINE

Semenyih online diwujudkan bertujuan untuk membantu menyebarkan maklumat terkini hal-hal berkaitan dengan Bandar Semenyih.

Sekiranya saudara/saudari ada berita terkini untuk dikongsikan didalam Semenyih Online, sila emailkan kepada semenyihonline@gmail.com beserta dengan gambar-gambar agar boleh ianya didownloadkan di dalam blog ini.

Berita-berita yang boleh dikongsikan adalah seperti kewujudan perniagaan baru, kejadian masa kini, program-program yang berlangsung dan bakal berlangsung dan sebagainya.

Berita-berita yang hendak dikongsikan mestilah mengikut tatatertib dan tatasusila sebagai Rakyat Malaysia. Web Master berhak untuk menolak mana-mana makluman atau berita yang didapati tidak sesuai untuk dipaparkan tanpa memberikan sebarang notis.

Sebagai permulaan ini, bagi sesuatu iklan untuk tujuan komersil atau mengiklankan sesuatu perniagaan, tiada bayaran akan dikenakan buat masa ini sehinggalah dimaklumkan oleh Web Master kelak.

Kejayaan Semenyih Online ini adalah bergantung kepada sumber-sumber daripada saudara/saudari sekelian.

Sekian dan salam,

Web Master Semenyih Online

Sunday, September 27, 2009

MISI HAPUS MISKIN TEGAR

JOHAN Abdul Aziz menghulurkan sumbangan untuk warga miskin dan ibu tunggal di kawasan Semenyih sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri, baru-baru ini.


Oleh WAN SYAMSUL AMLY kota@utusan.com.my


SEMENYIH 27 September 2009 - Pelbagai cara sudah diperkenal dan digunakan oleh kerajaan untuk membantu golongan yang memerlukan. Ada yang berbentuk jangka pendek dan ada juga secara jangka panjang.

Di Semenyih, penduduk di kawasan tersebut boleh datang ke pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan itu, Johan Abdul Aziz pada bila-bila masa jika mereka mempunyai masalah atau memerlukan bantuan.
Walaupun kerajaan negeri diperintah oleh pembangkang tetapi Johan bersedia untuk cuba membantu menyelesaikan apa juga masalah yang diadukan kepadanya.

Misinya hanya satu, menyelesaikan setiap aduan atau masalah sebaik mungkin dan memastikan taraf kehidupan di situ menjadi semakin baik.
Menyedari perlunya pendekatan baru dalam soal memberi bantuan, Johan tampil dengan Skim Usahawan Miskin Tegar yang dijangka bermula pada November ini.

Lembaran baru kepada konsep memberi bantuan di kawasan itu akan memilih 10 orang penduduk Semenyih untuk dijadikan kumpulan perintis.

"Kita akan perkenalkan Skim Usahawan Miskin Tegar dan kita namakan begini sebagai simbol galakan kepada mereka.

"Skim ini akan memberi modal berunsur barangan atau keperluan asas untuk mereka memulakan projek pertanian atau penternakan.

"Konsep memberi modal yang selama ini diamalkan akan ditukar kepada pemberian benih atau ternakan kecil untuk dibiak," ujarnya ketika ditemui di sini.

Johan berharap skim itu bakal membuka 'jalan' kepada kelahiran lebih ramai usahawan tani atau penternak di kawasan Semenyih.

Katanya, idea itu timbul setelah melihat beberapa kegagalan dalam projek bantuan sebelum ini.
"Sebelum ini kita memberi modal gerai dan barangan membuat burger, namun selepas beberapa ketika, mereka semakin 'malas' untuk meneruskan perniagaan.

"Kali ini kita memberi anak pokok serta benih untuk disemai. Pengusaha yang akan dipilih perlu menjaga 'aset' mereka sehingga ia boleh dituai atau dijual," katanya.

Beliau berkata, bantuan itu akan disalurkan menerusi sebuah koperasi yang sudah lama diwujudkan dan antara projek yang disenaraikan adalah ternakan ayam, kambing, lembu, ikan keli selain tanaman pisang serta serai.

"Kita akan bantu serta pantau projek pertanian mereka sehingga ke tahap ia boleh dituai. Kita juga akan mengaturkan orang tengah yang boleh mengambil hasil mereka untuk dijual.
"Ia dilihat sebagai usaha menjadikan warga Semenyih lebih berusaha sekali gus mengeluarkan mereka daripada belenggu miskin tegar," katanya.

Katanya, setakat ini, pihaknya sudah mempunyai senarai menghampiri 100 orang untuk menjadi penerima pertama skim berkenaan.

Namun, jelasnya, jumlah itu akan ditapis dan disaring supaya hanya mereka yang memenuhi kriteria yang ditentukan sahaja akan dipilih.

"Sebagai permulaan, kita perlu hadkan peserta supaya pemantauan dapat dijalankan dengan berkesan tetapi kita akan terus buka untuk permohonan baru.

"Kita berhasrat untuk menghapuskan terus kadar miskin tegar di sini," ujarnya.
Sebelum ini, beberapa projek termasuk di bawah Program Bantuan Rumah (PBR) sudah dijalankan di kawasan Semenyih.

Projek yang melibatkan 15 kontraktor untuk menjadi perintis dalam projek pertama PBR dipilih berdasarkan prestasi dan penilaian terhadap projek yang pernah dibuat sebelum ini. Mereka diberi tempoh selama 40 hari untuk menyiapkan sebuah rumah teres yang mempunyai tiga bilik dan lengkap dengan kemudahan elektrik serta bekalan air. Skim usahawan miskin itu adalah penyambung kepada usahanya untuk membantu masyarakat di kawasan itu.

"Kita tidak mahu memberikan harapan palsu kepada masyarakat di sini. Kita janji kita buat, dan nilailah sendiri kerja saya. "Ini usaha ikhlas dan saya akan memberi bantuan sedaya mungkin untuk melihat kemajuan masyarakat Semenyih," ujarnya.