WOW...

SEMENYIH ONLINE

Semenyih online diwujudkan bertujuan untuk membantu menyebarkan maklumat terkini hal-hal berkaitan dengan Bandar Semenyih.

Sekiranya saudara/saudari ada berita terkini untuk dikongsikan didalam Semenyih Online, sila emailkan kepada semenyihonline@gmail.com beserta dengan gambar-gambar agar boleh ianya didownloadkan di dalam blog ini.

Berita-berita yang boleh dikongsikan adalah seperti kewujudan perniagaan baru, kejadian masa kini, program-program yang berlangsung dan bakal berlangsung dan sebagainya.

Berita-berita yang hendak dikongsikan mestilah mengikut tatatertib dan tatasusila sebagai Rakyat Malaysia. Web Master berhak untuk menolak mana-mana makluman atau berita yang didapati tidak sesuai untuk dipaparkan tanpa memberikan sebarang notis.

Sebagai permulaan ini, bagi sesuatu iklan untuk tujuan komersil atau mengiklankan sesuatu perniagaan, tiada bayaran akan dikenakan buat masa ini sehinggalah dimaklumkan oleh Web Master kelak.

Kejayaan Semenyih Online ini adalah bergantung kepada sumber-sumber daripada saudara/saudari sekelian.

Sekian dan salam,

Web Master Semenyih Online

Wednesday, October 8, 2008

PROJEK PELEBARAN JALAN PEKAN SEMENYIH

Petikan dari Utusan Malaysia 8-Okt-2008
SEMENYIH Sebanyak RM15 juta akan diperuntukkan bagi melaksanakan projek pelebaran jalan di sepanjang Jalan Pekan Semenyih dan Jalan Broga tidak lama lagi. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih, Johan Abd. Aziz berkata, pelebaran jalan tersebut perlu dilaksanakan bagi mengatasi masalah kesesakan di sepanjang jalan berkenaan yang berlaku sejak beberapa tahun lalu. Katanya, bagaimanapun, tarikh tepat bila projek pelebaran jalan berkenaan akan dimulakan masih belum diputuskan lagi.

“Memandangkan penduduk di kawasan sekitar Semenyih semakin bertambah, jadi jalan tersebut perlu diperbesarkan bagi menampung jumlah kenderaan yang menggunakan jalan berkenaan. Walaupun Lebuh Raya Kajang-Seremban (Lekas) telah dibuka bagi mengurangkan kesesakan, namun ia juga tidak mampu mengatasi masalah kesesakan di Jalan Semenyih dan Broga dengan sepenuhnya. Justeru, apabila tender projek pelebaran jalan berkenaan telah ditetapkan, maka projek pelebaran juga akan mula dilaksanakan bagi memberi keselesaan kepada pengguna terutamanya penduduk di kawasan berkenaan,” katanya kepada pemberita ketika melawat pembukaan lebuh raya Lekas baru-baru ini.

Dalam pada itu, beliau turut memberitahu tentang cadangannya untuk menyediakan perkhidmatan bas mini kepada penduduk di kawasan perumahan baru yang masih belum mempunyai pengangkutan awam di sekitar Semenyih dan Bandar Tasik Kesuma. Jelasnya, sebelum ini beliau telah mengadakan perbincangan bersama Pengerusi Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP), Datuk Markiman Kobiran bagi membantu menyediakan perkhidmatan tersebut.

“Memandangkan kepadatan penduduk semakin tinggi di kawasan ini, jadi pengangkutan awam amat diperlukan di kawasan-kawasan perumahan yang jauh dari jalan besar. Oleh yang demikian, perkhidmatan bas mini menjadi salah satu inisiatif kepada penduduk untuk keluar dan masuk ke taman-taman perumahan tersebut,” jelasnya.